Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

‘Ummi mungkin tersinggung teguran saya’


Tenom: “Ummi meninggalkan kami sekeluarga dengan hanya membawa dompet mengandungi MyKad dan wang saku RM5 yang diminta, selain menyerahkan kad ATM miliknya kepada saya.

“Dia gadis baik, malah sebelum ‘meninggalkan’ kami, dia sempat membantu saya membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk di dapur,” kata Ainah Mokti, 48, yang masih bingung mengenai kehilangan anak keempatnya, Ummi Nazirah Edward Osman, 19, yang gagal dikesan sehingga kini sejak sebulan lalu.


Menurut Ainah, anaknya yang dipanggil Ummi melangkah keluar dari rumah, jam 1 tengah hari pada 16 Ogos lalu dan terus menghilang tanpa khabar berita.

“Selepas Ummi menyiapkan kerja rumah seperti menyapu lantai, mengemas rumah dan mencuci pinggan, dia terus mandi sebelum ke bilik.


“Saya menyangkakan dia bersiap untuk ke tempat kerja dan tidak berfikir apa-apa,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Kalang, di sini.


Bagaimanapun, Ainah berkata, naluri keibuan membuatkan dia tiba-tiba berasa tidak sedap hati lalu menjenguk ke dalam bilik anak gadisnya sebelum melihat sepasang baju kerja yang masih dalam keadaan bergosok terletak kemas di atas katil.

“Saya terkejut melihat baju kerja Ummi masih kemas dan mula berasa tak sedap hati.


“Perasaan gundah saya ada benarnya apabila Ummi langsung tidak pulang ke rumah sehingga hari ini,” katanya yang sebak memikirkan nasib anak gadisnya. Katanya, pada malam sebelum menghilangkan diri, dia menegur Ummi mengenai adat berkawan selain mengingatkannya supaya menjadi manusia yang baik dan jangan menyinggung perasaan orang lain.

“Saya faham Ummi peramah dan periang serta tidak menafikan dia ramai kenalan di kampung dan tempat kerjanya.


“Saya tak tahu sama ada dia tersinggung dengan teguran saya, tapi dia tidak menunjukkan reaksi marah atau kecewa ketika itu, sebaliknya cuma mendiamkan diri,” katanya.


Ainah berkata, pada pagi sebelum anaknya menghilangkan diri, Ummi berkelakuan seperti biasa, termasuk sempat menggosok baju kerja seperti kebiasaan.


“Pada hari itu, Ummi bertugas pada waktu petang dan biasanya keluar sekitar tengah hari. Saya yang ketika itu berada di dalam bilik terdengar bunyi dia menutup pintu rumah dan menyangka dia ke tempat kerja.


“Namun, gerak hati saya berbisik sesuatu lalu memeriksa bilik tidur Ummi dan hairan melihat pakaian kerjanya masih berada di atas katilnya,” katanya.


Ainah berkata, selain duit RM5 dan MyKad, Ummi tidak membawa pakaian manakala usaha menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal.


“Selepas sehari menghilangkan diri, kami sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Tenom kerana bimbang Ummi mungkin menghadapi perkara buruk.


“Saya tak pasti di mana dia berada sekarang tapi yakin Ummi masih hidup dan berada di sekitar daerah ini tapi ‘disembunyikan’ seseorang,” katanya.


Katanya, jika ada rakan Ummi berbuat demikian, mereka sekeluarga meminta anak mereka dipulangkan segera.


“Jika ada antara mereka yang berkenan, datanglah ke rumah dan berbincang kerana Ummi masih ada ibu dan ayah.


“Kami sedia mendengar luahan mereka asalkan dapat melihat Ummi dan memastikan dia dalam keadaan selamat,” katanya.


Ainah berkata, sesiapa yang mengetahui lokasi anaknya boleh menghubunginya di talian 012-868 5576, 016-828 0524 (Ainah) atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

No comments:

Post a Comment