Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Tiga sekeluarga terselamat kereta dirempuh lori sampah

Oleh FADZLY IZAB
MELAKA 30 Sept. - Seorang ibu bersama dua anaknya terselamat walaupun bahagian belakang kereta yang dinaiki remuk teruk selepas dirempuh sebuah lori sampah dalam kemalangan melibatkan tiga lagi kenderaan di Jalan Tun Hamzah dekat simpang Kompleks Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Bukit Katil di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.35 tengah hari itu, seorang wanita yang dalam perjalanan pulang dari mengambil dua anak perempuannya dari sekolah rendah hanya mengalami cedera ringan setelah kereta dinaiki mereka dirempuh lori berkenaan.
Bagaimanapun, pemandu lori dan dua lagi penumpang kenderaan lain termasuk sebuah Proton Waja dan van Nissan Vanette tidak mengalami sebarang kecederaan.
Saksi yang juga pemandu Proton Waja tersebut, Bahman Jamaluddin, 44, berkata, dia bersama anak perempuannya, Nur Izzati, 23, sedang dalam perjalanan dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ke rumah mereka di Bukit Bayan di sini semasa kejadian.
''Apabila tiba di tempat kejadian, saya melihat sebuah Honda City di laluan bertentangan sedang berhenti dengan memberi isyarat ke kanan untuk masuk ke simpang arah balai bomba berkenaan.
''Pada masa yang sama, saya melihat sebuah lori sampah dari arah Bukit Katil iaitu dari arah belakang Honda City itu sedang laju menuruni jalan berbukit tersebut sebelum merempuh belakang kenderaan dinaiki tiga sekeluarga terbabit.
''Rempuhan kuat itu menyebabkan Honda City tersebut tercampak kira-kira 10 meter hingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van di hadapan saya sebelum merempuh kereta saya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130930/je_13/Tiga-sekeluarga-terselamat-kereta-dirempuh-lori-sampah#ixzz2gSuAb9WR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment