Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Tiga nafi biar ‘Taliban’ lari


2013/09/26
Seremban: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, kerana bersubahat membiarkan seorang suspek pengedar dadah dikenali sebagai Taliban, melarikan diri, awal bulan ini.

Lans Koperal Nizar Azizi Alwi, 30; Koperal Ismail Jamil, 50, dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izman Mohamed Noh dan memohon dibicarakan.
Didakwa serah RM1,000

Mengikut pertuduhan, Nizar Azizi, didakwa menyerahkan RM1,000 kepada suspek, Kishminderjit Singh Bahadar Singh, 39, di lokap Balai Polis Mantin dekat sini, antara jam 11 malam hingga 3 pagi, 31 Ogos lalu. Ini bagi membolehkan wang itu diserahkan kepada Ismail dan Nashrul Azlan sebagai sogokan untuk melarikan diri.

Nizar Azizi didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ismail dan Nashrul Azlan pula didakwa dengan cuai menyebabkan suspek terlepas di tempat letak kenderaan Kawasan Rehat Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) di Nilai dekat sini, antara jam 7.50 pagi hingga jam 10.55 pagi, 1 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebutan semula 28 Oktober

Mahkamah menetapkan Nizar Azizi diikat jamin RM3,000, manakala Ismail dan Nashrul Azlan masing-masing dikenakan ikat jamin RM1,000 setiap seorang. Tarikh sebutan semula pada 28 Oktober ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Muhammad Zainudin, manakala semua tertuduh diwakili Siti Huzaifah Abdul Talib dan Ardelliza Izmaryanti Shafie.

Media sebelum ini melaporkan suspek dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ke Penjara Simpang Renggam, Johor, selepas polis memperoleh perintah menahannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Ketika van polis yang membawanya berhenti di Plaza Tol Setul, sebuah PROTON Satria merah tiba-tiba melanggar kenderaan itu, sebelum suspek melarikan diri menaiki kereta itu.

Kishminderjit yang mempunyai lapan kesalahan lampau dan empat kes dikehendaki polis, ditahan semula di sebuah rumah di Semenyih, Selangor, dalam serbuan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, jam 8.45 malam, 3 September lalu.

No comments:

Post a Comment