Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Tiga maut bas rempuh treler

Tiga maut bas rempuh trelerSuasana di lokasi kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler.

KULAIJAYA – Tiga maut, manakala empat cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan sebuah treler muatan kayu di Kilometer 45.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar Sedenak, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 10 penumpang lain turut mengalami cedera ringan sementara selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang maut adalah pemandu bas, R Shashi Kumar, 24, berasal dari Bemban, Melaka dan penumpang warga Indonesia, Edi Setiono, 51, kerana cedera parah setelah badan mereka ditembusi kayu seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu treler, A Majid Sadar Mohd, 59 yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan pula dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulai akibat serangan jantung.

Selain itu, sebuah kereta jenis Mazda remuk berikutan pemandunya gagal mengawal kenderaan setelah melanggar longgokan kayu dari treler yang terjatuh ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya berkata, bas yang membawa 22 penumpang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

“Kejadian berlaku apabila bas berkenaan merempuh bahagian belakang treler menyebabkan pemandu dan penumpang yang duduk di tingkat atas tersepit seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala 14 penumpang dibawa ke hospital dan empat daripadanya dilaporkan cedera parah termasuk pemandu kedua bas. Enam lagi terselamat,” katanya mengesahkan kejadian ketika ditemui di hospital, di sini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke hospital Kulai untuk bedah siasat dan mendapatkan rawatan.

“Punca kejadian masih sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan raya dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru sejauh kira-kira empat kilometer,”katanya.

No comments:

Post a Comment