Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Tiga lelaki pecah mesin ATM


Jempol: Tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dipercayai memecah masuk Kiara Square Shopping Centre, Bahau, di sini, semalam, sebelum melarikan RM295,000 daripada sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di ruang legar bangunan terbabit.

Dalam kejadian jam antara 4 pagi hingga 6 pagi itu, seorang pengawal keselamatan berusia 60 tahun turut diikat dan dicederakan sebelum suspek melarikan diri. Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup, pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek menggunakan parang bagi rompakan itu dan memecahkan ATM menggunakan pemotong besi.


“Polis kini giat mengesan ketiga-tiga suspek itu berusia antara 30-an hingga 40-an. “Setakat ini, kita (polis) mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan mengenai kejadian sebenar,” katanya.

Tukiman berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai memukul seorang pengawal keselamatan yang mengawasi di kawasan luar pusat beli-belah itu sebelum mengheretnya ke dalam.


“Selepas dicederakan, tangan dan kaki warga emas terbabit diikat sebelum seorang suspek memecahkan ATM menggunakan pemotong besi.


“Mereka (suspek) seterusnya melarikan diri bersama wang rompakan dan membiarkan pengawal keselamatan itu dalam keadaan masih terikat,” katanya.

Menurutnya, kakitangan bangunan itu yang tiba jam 6 pagi terus menghubungi polis sebelum polis tiba lima minit kemudian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

No comments:

Post a Comment