Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Peniaga berputih mata

Peniaga berputih mataZahari (kiri) ditemani Zakaria melihat keadaan kedai makannya yang musnah

PASIR MAS - Seorang peniaga hanya mampu berputih mata apabila kedai makan tempatnya mencari rezeki terbakar dalam kejadian di Kampung Kedondong di sini, kira-kira jam 3.10 pagi semalam.

Kejadian itu bukan sahaja melibatkan sebuah kedai makan tetapi, turut memusnahkan sebuah Tabika Kemas dan Kelas Amanah Ikhtiar.

Mangsa, Zahari Mohamad, 48, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di kedai itu kerana tidur di rumahnya yang terletak 800 meter dari tempat kejadian.

“Saya hanya mengetahui kebakaran berlaku apabila dihubungi jiran yang tinggal di hadapan kedai makan tersebut.

“Selepas mengetahui perkara itu, saya terus bergegas ke tempat kejadian namun, api marak dengan cepat sehingga tiada satu barang pun yang berjaya diselamatkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Zahari berkata, sudah 13 tahun dia berniaga di kedai makan tersebut yang disewa daripada seorang penduduk di sini.

Menurutnya, setiap hari dia memulakan berniaga pada jam 6.30 pagi hingga 2 petang dan disambung semula dari jam 6 petang hingga 12 malam.

“Akibat kebakaran itu saya mengalami kerugian kira-kira RM20,000 kerana kedai itu turut dijadikan stor simpanan barangan jualan.

“Bagaimanapun, saya reda dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai satu ujian daripada Yang Maha Esa, walaupun sumber pendapatan sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Kanan II, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 pagi dan seramai 13 anggota serta tiga jentera
dikejarkan ke tempat kejadian.

“Dua jentera dari Pasir Mas, manakala satu lagi dari Rantau Panjang. Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian belum dikenal pasti dan masih disiasat,” katanya.
Dalam pada itu, musibah yang menimpa Zahari mendapat perhatian Adun Tendong, Rozi Mohamad yang hadir memberikan sumbangan kepadanya.
Hadir sama, Penghulu Mukim Kedondong, Zakaria Abdullah.

No comments:

Post a Comment