Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Tak sanggup lihat rumah terbakar

Tak sanggup lihat rumah terbakarAsmah (kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Huzaimy bersama wakil PTJ Bachok.

BACHOK – Perkhabaran mengenai kebakaran rumahnya pada petang Ahad lalu menyebabkan seorang peniaga makanan berdekatan sebuah agensi kerajaan di Kampung Teluk, di sini terduduk tanpa dapat berkata apa-apa.

Asmah Mat Sehor, 46 yang berniaga di warungnya seperti biasa pada masa kejadian berkata, dia hanya mengetahui berkenaan kejadian setelah diberitahu oleh pekerjanya setelah mendapat perkhabaran daripada penduduk kampung berkenaan.

"Saya tak tahu nak buat apa apabila mendapat tahu kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang itu. Saya tak pergi tengok pun keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran sebab saya rasa tak mampu melihat keadaan itu serta berdepan dengan orang ramai.

"Saya hanya balik tengok rumah saya kira-kira jam 6 petang. Memang semua tidak dapat diselamatkan kerana rumah saya rumah kayu dan musnah dalam sekelip mata dalam kebakaran itu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Bachok.

Asmah memaklumkan, sejurus mendapat berita tersebut dia terus menghubungi anak sulungnya, Yusmadi Mohd Yunan, 30 yang sedang bekerja di Pengkalan Chepa ketika itu.

Yusmadi yang turut ditemui berkata, selepas mendapat tahu kejadian, dia bergegas pulang ke rumah ibunya untuk melihat sendiri keadaan rumah tersebut.

"Saya tidak tinggal bersama ibu dan adik, Yusri, 23 di rumah ini. Bila sampai, saya tengok api dah hampir padam dan bomba sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran. Nasib baik adik tiada di rumah ketika itu dan tiada kecederaan berlaku.

"Hanya peralatan rumah yang musnah manakala bahagian dapur rumah yang dibina dengan batu tidak terjejas teruk. Buat sementara keluarga saya terpaksa menumpang rumah saudara berdekatan," katanya.

Penolong Ketua Jajahan Pembangunan Fizikal, Nik Mahmud Nik Jaffar yang mengetuai lawatan dari PTJ Bachok memaklumkan keluarga bitu mendapat bantuan segera daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurutnya, bantuan berkenaan disampaikan kepada Asmah melalui Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin yang turut sama dalam lawatan berkenaan dengan ditemani Penggawa Perupuk, Rosdi Ismail.

Mohd Huzaimy ketika ditemui berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib Asmah sekeluarga dan berharap mereka tabah menghadapi ujian berkenaan serta akan ada pihak lain tampil membantu keluarga ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria memaklumkan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.22 petang.

"Operasi telah melibatkan kekuatan lapan anggota bomba bersama dua jentera dengan diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Fakarudin Berahim," katanya.

No comments:

Post a Comment