Search This Blog

Sunday, September 22, 2013

SPRM tahan 8 lelaki, rampas RM1.2 juta


SEORANG suspek (kanan) disoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa cuba menjalankan rundingan untuk memberi suapan berhubung isu bot nelayan pukat tunda di sebuah restoran di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
PUTRAJAYA 1 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket nelayan asing yang aktif merasuah penguat kuasa tempatan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana menangkap ikan di perairan negara setelah memberkas lapan lelaki termasuk seorang warga Vietnam.
Kesemua suspek berusia 35 hingga 60 tahun ditangkap dalam operasi khas yang dijalankan oleh SPRM di ibu negara, Kelantan, Pahang dan Johor pada malam tadi sehingga pagi ini.
Hasil tangkapan itu, SPRM merampas wang tunai bernilai RM1.2 juta yang digunakan sebagai pembayaran rasuah sejak Mac lalu dan empat buah bot pukat ganding milik syarikat nelayan Vietnam bernilai kira-kira RM5 juta.
Dalam tangkapan di sebuah restoran di Jalan Klang Lama kira-kira pukul 11 malam tadi, seorang suspek cuba merasuah anggota penguat kuasa dengan wang berjumlah RM420,000 yang diletakkan dalam sebuah beg sandang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, ahli-ahli sindiket terbabit dipercayai bersekongkol dengan beberapa pengusaha bot nelayan Vietnam untuk merasuah anggota penguat kuasa bagi mengelak mereka ditangkap kerana menangkap ikan di perairan negara ini atau melepaskan bot dan barang-barang kes yang dirampas.
"Tangkapan dibuat bermula malam tadi hingga pagi ini iaitu masing-masing dua individu di ibu negara; Kota Tinggi di Mersing, Johor; Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.
"Kesemua mereka yang ditahan telah direman antara empat hingga enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Operasi mengesan dan menangkap sindiket nelayan asing merasuah anggota penguat kuasa yang bertanggungjawab menjaga perairan negara dilancarkan oleh SPRM, susulan laporan eksklusif mengenai keluhan nelayan-nelayan tempatan yang menjadi mangsa kegiatan haram tersebut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 27 September lalu.
Laporan hasil tinjauan wartawan selama dua hari di tiga kawasan tumpuan nelayan pantai iaitu Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Pulau Betong, Pulau Pinang menunjukkan aktiviti pencerobohan itu berlaku sehingga mengakibatkan pendapatan nelayan pantai terjejas serta merosakkan pukat mereka apabila dirempuh bot pukat tunda.
Pendedahan tersebut mendapat maklum balas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kemudian mengeluarkan kenyataan menggesa semua pihak berkaitan agar lebih tegas menangani isu pencerobohan bot pukat tunda di kawasan kurang sembilan kilometer dari pantai atau dikenali sebagai Zon A kerana bimbang perkara tersebut menjurus kepada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah.
Semalam, Utusan Malaysia dalam satu lagi laporan eksklusif mendedahkan kegiatan beberapa syarikat menangkap ikan milik nelayan asing dikesan sanggup membayar antara RM20,000 dan RM200,000 kepada agensi penguat kuasa tempatan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang jika ditangkap menceroboh perairan negara ini.
Mengulas lanjut kejayaan menumpaskan sindiket terbabit, Mohd. Shukri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana banyak memberi maklumat dan kerjasama dalam usaha menumpaskan sindiket tersebut.
Katanya, SPRM juga berharap dengan tumpasnya sindiket tersebut, tiada lagi kes pencerobohan nelayan asing berulang di perairan negara bagi memberi peluang kepada nelayan tempatan mencari rezeki.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131002/je_01/SPRM-tahan-8-lelaki-rampas-RM12-juta#ixzz2gZxyztNS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment