Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Sindiket DVD haram miliki pistol tiruan, gari

Foto
MOHD Shukri (kanan) menunjukkan pistol tiruan dan gari yang dirampas.
Shah Alam: Satu sindiket yang menjalankan penjualan DVD cetak rompak dan lucah di Selangor dikesan turut memiliki beberapa kelengkapan kepolisan termasuk memiliki pistol tiruan, peluru bebola besi dan plastik serta gari.
Penemuan bahan itu diperoleh dalam dua siri serbuan operasi dikenali ‘Ops Ostrich’ oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Jumaat lalu yang turut merampas 8,179 DVD cetak rompak dan lucah. 
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah unit kondominium mewah di Petaling Jaya yang dipercayai turut dijadikan stor penyimpanan DVD pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, unit berkenaan diserbu susulan penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun di kawasan kondominium berkenaan sebelum seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 25 dan 41 tahun ditahan di tempat letak kereta kondominium berkenaan beberapa minit kemudian.

“Dalam serbuan itu, kita merampas pelbagai jenis DVD filem dalam dan luar negara termasuk filem lucah yang disimpan di kondominium berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran di negeri ini dianggarkan bernilai RM60,000.

“Selain DVD, polis turut merampas sepasang gari, dua kotak kosong yang digunakan untuk menyimpan pistol, dua kelopak pistol, sarung pistol, peluru plastik dan bebola besi, pisau lipat dan lampu suluh,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, pada jam 2 petang hari sama, suspek lelaki warga tempatan yang ditahan itu membawa polis ke premis menjual DVD cetak rompak di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol tiruan jenis Milspec bersama kelopak peluru kosong. dan akan menyiasat motif suspek menyimpan pistol tiruan di premis berkenaan.

“Polis tidak menolak kemungkinan ia digunakan untuk kegiatan jenayah serta menakutkan orang awam,” katanya.

Katanya, sindiket pengedaran DVD cetak rompak itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan siasatan lanjut untuk mengesan pengeluarnya sedang dijalankan.

Mohd Shukri berkata, siasatan lanjut polis mendapati suspek warga Myanmar yang ditahan hanya memegang kad ‘Malaysia Karen Organization (MKO) yang berfungsi sama dengan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/24

No comments:

Post a Comment