Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Setiausaha syarikat mengaku salah buat penyataan palsu


 
BUTTERWORTH: Seorang setiausaha sebuah syarikat mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan membuat penyataan palsu yang terkandung dalam laporan kewangan bagi empat buah syarikat, tiga tahun lepas.

Tertuduh Gok Ching Hee, 42, membuat pengakuan itu di hadapan pendaftar Mahkamah Sesyen Siti Sarah Abdul Rahim di sini hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Gok didakwa membuat penyataan palsu kepada pengarah syarikat EL Chong Motor Trading Sdn Bhd pada 30 Jun 2010 dengan menyatakan bahawa sebuah syarikat LKH Associates telah dilantik menjadi juruaudit untuk laporan kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Tertuduh juga membuat penyataan palsu terhadap syarikat yang sama pada 30 Jun 2011 untuk laporan kewangan yang berakhir 31 Disember 2010.

Seterusnya Gok dituduh melakukan kesalahan yang sama kepada pengarah syarikat Aun Chuan Lee Trading & Transport Sdn Bhd pada 30 Jun 2010, untuk laporan kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Selain itu, dia juga dituduh melakukan kesalahan serupa kepada pengarah syarikat Golden Crossback Arowana Breeding Farm Sdn Bhd pada 24 Ogos 2011, untuk laporan kewangan yang berakhir 28 Februari 2011.

Gok juga dituduh dengan kesalahan yang sama kepada pengarah syarikat Prosful Trading Sdn Bhd pada 30 Jun 2011 untuk laporan kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Gok didakwa mengikut Seksyen 364A (1)(a) Akta Syarikat (Akta 125), dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Gok dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Oktober untuk keputusan kes, Pendakwaan dijalankan Pegawai Kanan Pendakwaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamaruzaman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment