Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Sempat tunjuk lagak


Melaka: Tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 04 sempat menunjukkan isyarat empat jari kepada media selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sekitar negeri ini, empat bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, P Narendranpathy, 26, P Sethupathi, 25, dan Aiman Mazlan, 20-an.


Terdahulu, semua tertuduh yang berpakaian cerah dan gelap itu kelihatan tenang ketika pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Syajaratudur Abd Rahman. Mereka yang berasal dari Taman Cheng Jaya, dekat sini, kemudian mengangguk faham akan pertuduhan itu.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, ketiga-tiga tertuduh yang menyedari kehadiran jurugambar sempat menunjukkan isyarat empat jari dipercayai menandakan mereka ahli kongsi gelap. Mengikut pertuduhan, mereka bersama empat individu yang sudah dituduh dan seorang masih bebas didakwa menyebabkan kematian R R Sivan, 32, di depan sebuah rumah di Taman Bertam Jaya kira-kira jam 10 malam, 4 Mei lalu.


Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bunuh jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang kos jaminan kepada semua tertuduh.

Syajaratudur menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

No comments:

Post a Comment