Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Seludup dadah: Dua wanita Iran ke tali gantung


SHAH ALAM 30 Sept. - Cerita dongeng dan mengarut. Demikian rumusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap keterangan dua wanita Iran yang mendakwa dadah yang dijumpai di dalam bagasi mereka ketika memasuki negara ini adalah barang makanan.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah sebaliknya berkata, Sharzad Matinnia Mansoor, 32, dan Neda Mostafaei Ghodraollah, 26, gagal memberi penjelasan bagaimana barang makanan yang dibawa dalam bagasi mereka mempunyai dadah jenis methamphetamine seberat 5,423.3 gram di dalamnya.
Malah, katanya, perancangan mereka ke Malaysia telah dibuat lebih awal berdasarkan tempahan tiket penerbangan serta mereka tidak membawa wang yang banyak walaupun mendakwa sedang bercuti ke negara ini.
"Sehubungan itu, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan kedua-dua tertuduh dihukum gantung sehingga mati," tegas beliau.
Kedua-dua wanita itu dilihat mengesat air mata sepanjang Hakim Abdul Alim membacakan penghakimannya namun, seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga mereka meraung sebaik sahaja tertuduh dibawa keluar dari kandang tertuduh.
Kedua-dua wanita itu dijatuhi hukuman itu setelah didapati bersalah mengedar 2,265.2 gram dan 2,758.1 gram dadah berkenaan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras 3, bangunan utama terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 6.50 pagi, 15 Disember 2010. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130930/ma_05/Seludup-dadah:-Dua-wanita-Iran-ke-tali-gantung#ixzz2pHyqlehS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment