Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

‘Saya akan tunai hasrat arwah suami’


Georgetown: “Saya akan tunaikan hasrat arwah suami yang mahu melakukan aqiqah untuk anak bongsu, Muhammad Atiqullah, empat bulan, pada Aidiladha tidak lama lagi,” kata balu Allahyarham Sarjan Zal-Azri Abd Somad, 31, yang maut dihentak batu oleh penjenayah di sebuah premis jual beli barangan lusuh di Taman Teknologi Cheng pada 23 September lalu.

Atiqah Mohd Rosli, 29, berkata, hasrat arwah akan tetap ditunaikan dan majlis itu akan diadakan dengan bantuan keluarga.


Atiqah yang masih bersedih berkata, kehilangan arwah masih dirasai kerana tidak menyangka arwah meninggalkan mereka dalam sekelip mata. “Walaupun sedih, saya reda dan akan tunaikan hasrat arwah seperti yang dirancang sebelum ini. Saya juga akan berusaha menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk membesarkan dua anak lelaki, Muhammad Habibullah, 4, dan Muhammad Atiqullah,” katanya.

Atiqah berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada UMNO Pulau Pinang yang diketuai Pengerusi Perhubungan negeri Datuk Zainal Abidin Osman. Turut hadir Setiausaha UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor Datuk Omar Faudzar.


Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Zainal Abidin bersama Musa dan Omar bertanya khabar selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Zal-Azri yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka cedera di kepala akibat dihentak dengan batu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

No comments:

Post a Comment