Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Remaja maut elak sekatan jalan raya


Klang: Seorang remaja terbunuh selepas cubaannya melarikan diri dari sekatan jalan raya oleh sepasukan anggota polis di Jalan Meru, di sini, menyebabkan dia terbabit dalam kemalangan sebelum tercampak dan digilis sebuah kenderaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu berpatah balik dan menunggang sambil melawan arus sebaik menyedari sekatan jalan raya sebelum dirempuh kenderaan. Anggota yang bertugas di sekatan itu kemudian bergegas membantu mangsa.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat kecederaan di kepala.

Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Klang ke Meru tercampak ke lorong tengah selepas mengelak Proton Wira Aeroback ketika cuba melarikan diri. Katanya, pada masa sama, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori itu dirempuh pula sebuah Toyota Camry yang tidak sempat mengelak.


“Selepas diperiksa, kita mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandumenyebabkan dia sanggup menunggang sambil melawan arus bagi mengelak ditahan polis. “Bagaimanapun, cubaan mangsa gagal apabila mangsa tercampak ke lorong tengah laluan itu selepas terlanggar sebuah kereta dan dirempuh sebuah kereta lain,” katanya ketika dihubungi semalam. Menurutnya, orang ramai sepatutnya tidak perlu melarikan diri kerana tindakan itu hanya mengundang padah kerana tindakan mereka bukan hanya membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.


Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTAR kira-kira jam 12.30 malam dan mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya dan akan dibawa pulang ke Sarawak untuk pengebumian,” katanya.

No comments:

Post a Comment