Search This Blog

Friday, September 6, 2013

Remaja antara tiga ditahan


Nibong Tebal: Seorang remaja yang disyaki anggota kumpulan kongsi gelap antara tiga yang ditahan bagi membantu siasatan polis berkaitan kejadian tembak pemilik restoran di Kawasan Perniagaan Taman Merak, di sini, kelmarin.

Ketiga-tiga remaja terbabit ditahan di rumah masing-masing sekitar kawasan Bukit Mertajam, dekat sini, pada malam kelmarin dan awal pagi semalam.


Difahamkan, penahanan mereka itu bermula selepas siasatan polis berjaya mengesan salah seorang daripada mereka.

Berikutan itu, polis bertindak menyerbu rumah remaja terbabit pada malam kelmarin dan berjaya menahannya.


Hasil penahanan remaja berusia belasan tahun itu membawa kepada tangkapan dua lagi remaja dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembak terbabit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan penahanan ketiga-tiga remaja terbabit.

Menurutnya, mereka kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Katanya, pihaknya percaya penahanan tiga remaja berkenaan dapat membantu polis menyelesaikan kes terbabit.

“Bagaimanapun, kami masih mengumpul maklumat bagi membantu mengesan beberapa lagi individu yang disyaki juga mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya.


Dalam kejadian jam 3.15 petang kelmarin, seorang pemilik restoran berusia 43 tahun cedera di dada selepas ditembak dua lelaki bermotosikal.


Mangsa dikatakan baru meletakkan keretanya di kawasan hadapan bangunan rumah kedai sebelum didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5.


Suspek dikatakan melepaskan empat das tembakan dari arah kiri kenderaan mangsa dan salah satunya mengenai dadanya.


Tidak lama kemudian, motosikal dipercayai yang digunakan suspek ditemui tersadai di Jalan Perusahaan Bukit Minyak, di sini, kira-kira lima kilometer dari lokasi tembak itu.


Selain motosikal, polis turut menemui dua topi keledar dan sarung pistol yang dipercayai ditinggalkan suspek.


Motosikal berkenaan dikatakan ditinggalkan kerana mengalami kerosakan rantai sebelum dua suspek itu dibantu untuk melarikan diri dengan sebuah kereta.


Mangsa adalah pemilik restoran kejadian tembakan rambang yang berlaku di Taman Kasawari, di sini, kira-kira dua minggu lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam pada 23 Ogos lalu, enam lelaki cedera akibat terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dua suspek bermotosikal.


Keenam-enam lelaki berkenaan dikatakan sedang minum di restoran berkenaan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan secara rambang.


Suspek dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha LC kemudiannya melarikan diri dan beberapa das tembakan yang dilepaskan secara rambang itu mengenai rusuk kanan, punggung, tangan dan kaki mangsa.

No comments:

Post a Comment