Search This Blog

Wednesday, September 11, 2013

Polis tahan lima lelaki

Polis tahan lima lelakiFaizal (kanan) meminta suspek bekerjasama memberikan maklumat kepada polis.

KULIM - Polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, diketuai Inspektor Faizal Mohamad menahan lima lelaki di sebuah rumah di taman perumahan di sini kira-kira jam 3 pagi semalam.

Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bilik belakang rumah dan dipercayai sedang menghisap dadah.

Pemeriksaan polis mendapati, dua dari suspek ditahan terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta dan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum ini, suspek bersama dua rakan lain pernah melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Proton Wira Aeroback sebelum meninggalkan kenderaan itu di jalan mati setelah dikepung polis bersama ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM).

Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran manakala kereta yang dinaiki mereka dibawa ke Balai Polis Lunas.

“Polis telah membuat pemantauan terhadap suspek sejak sebulan lalu dan berjaya menahan mereka semua awal pagi kelmarin.

"Dari pemeriksaan dibuat terhadap rumah suspek, polis menemui beberapa barangan elektrik yang masih belum dijual. Selain itu, suspek mengaku menjual beberapa barangan lain di sekitar kawasan Bukit Mertajam.

Menurut beliau, semua suspek kemudiannya di bawa balik ke IPD Kulim sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing.

"Kami mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya,” katanya.

Kata beliau, dua suspek terlibat dalam kegiatan pecah rumah mengaku melakukan perbuatan di Taman Kancil, Taman Desa Seni serta Taman Sejahtera dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment