Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Pemilik kedai perabot mati ditikam


Kuala Terengganu: Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati berlumuran darah dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di belakang badan dan kepala di belakang kedai perabot miliknya di Kampung Wakaf Tengah di sini, semalam.

Mayat Hadi Khan Yusof, 55, yang juga pemilik kedai berkenaan ditemui terbaring kira-kira jam 12 tengah hari oleh dua pemandu lori yang datang ke kedainya untuk menghantar barang sebelum menghubungi polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, polis menemui mayat mangsa dengan beberapa kesan tikaman di badan dan kepala di belakang kedainya.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang sudah mendapat taraf penduduk tetap dan menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu tinggal berseorangan sementara isteri dan anaknya baru pulang ke Pakistan beberapa hari lalu.


“Siasatan awal mendapati mangsa baru membuka kedai perabot berkenaan dan percaya jenayah ini dilakukan seorang suspek. “Bagaimanapun, kita akan menyiasat lebih lanjut bagi mengesan individu yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini. Setakat ini, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.


“Siasatan akan dijalankan merangkumi pelbagai aspek termasuk motif pembunuhan sama ada disebabkan rompakan atau sebagainya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Wakaf Tengah, di sini, semalam.

Manoharan berkata, pihaknya kini sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa di Pakistan bagi memaklumkan kejadian menimpa mangsa.


Katanya, mayat mangsa akan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk bedah siasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga pemilik kedai tudung, Ahmad Shafendi Mohd Yusof, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan dua pemandu lori yang datang menemuinya dalam keadaan panik.


Katanya, sebaik dimaklumkan kejadian itu, dia bergegas ke kedai mangsa dan terkejut menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.


“Kejadian itu memang mengejutkan saya kerana beberapa jam sebelum kejadian itu, saya ada melihat mangsa membaca surat khabar di depan kedainya kira-kira jam 8.30 pagi.


“Bagaimanapun, ada beberapa pelanggan yang mencari mangsa kira-kira jam 11 pagi pulang dengan hampa kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment