Search This Blog

Sunday, September 22, 2013

Pekerja warga Nepal hilang tempat tinggal

Pekerja warga Nepal hilang tempat tinggalAnggota bomba bertungkus-lumus memadamkan sisa kebakaran di asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, petang kelmarin.

MUAR - Lebih 200 pekerja asing warga Nepal yang menghuni asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, dekat sini, kehilangan tempat tinggal apabila asrama berkenaan musnah  dalam kebakaran, petang kelmarin.

Kejadian pukul 5.30 petang itu, dipercayai berpunca daripada litar pintas menyebabkan  asrama dua tingkat daripada batu dan berdindingkan zink hangus dalam tempoh singkat.
Ketika kejadian, hampir semua penghuni tiada di asrama itu kerana sedang bekerja di kilang perabot yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut.
Seorang pengawal keselamatan, 40-an, yang enggan dikenali berkata, dia terdengar pekikan yang disangkanya pergaduhan antara pekerja.
Menurutnya, pihak pengurusan membuat pemeriksaan dan mendapati keriuhan itu adalah jeritan mereka meminta pertolongan kerana asrama terbakar.

“Sekumpulan pekerja terbabit cuba memadamkan api tetapi gagal kerana keadaan api yang marak terlalu cepat.
“Ada lima hingga enam penghuni di tingkat atas melihat percikan api dari wayar pendawaian sebelum meletup serta disusuli bau hangit dan terbakar,” katanya kepada  Sinar Harian.
Tambahnya, keadaan menjadi kelam kabut apabila usaha memadamkan kebakaran gagal dan pekerja terlibat berlari menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seramai 20 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.57 petang.

Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran agak sukar kerana laluan di asrama itu sempit menyukarkan jentera masuk ke kawasan berkenaan selain terpaksa menarik hos sejauh kira-kira 65 meter dari pili bomba tepi jalan utama.

“Kerja memadam sisa kebakaran diteruskan sehingga jam 9 malam dan nilai kerugian serta punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment