Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Pegawai jabatan hutan didakwa lagi

Amir Sharifud-din
IPOH 26 Sept. - Seorang pegawai hutan Daerah Hulu Perak yang sebelum ini menghadapi 13 tuduhan rasuah, hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali ini atas tuduhan gagal menyerahkan pernyataan bersumpah bagi menjelaskan mengenai harta berlebihan yang dimilikinya.
Amir Sharifud-din Aliman, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh semasa disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah yang dihadapinya.
Pada 1 Februari lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak sejak tiga tahun lalu.
Tindakan lelaki itu yang memakai jaket hitam dan seluar jean warna sama serta memakai bandana ala bintang rock dan memakai rambut palsu juga turut mencuri perhatian mereka yang berada di mahkamah ketika itu.
Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk merujuk anak guamnya itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan psikiatri setelah dia hanya menjawab 'saya tidak faham' dan 'saya tidak ingat' selepas setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Bagaimanapun, hari ini, Amir Sharifud-din dilihat berpakaian kemas dengan berkemeja lengan panjang hitam putih dan berseluar hitam serta rambutnya sudah dipotong pendek.
Dia juga berkata 'tidak bersalah' ketika ditanya pengakuannya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya SPRM didakwa telah gagal menyerahkan pernyataan bersumpah atau berikrar bagi menjelaskan mengenai harta berlebih-lebihan yang dimilikinya dalam masa yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 36(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.
Sementara itu, Kevin selepas prosiding kes itu memberitahu, tertuduh berada di Hospital Bahagia atas kehendaknya sendiri.
Menurut beliau, pemerhatian yang dibuat pakar psikiatri menunjukkan tertuduh hanya mengalami kemurungan dan dia layak untuk membela diri dan dibicarakan.
''Meskipun pemerhatian terhadapnya telah selesai, namun tertuduh tetap mahu terus berada di situ (Hospital Bahagia),'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130927/ma_02/Pegawai-jabatan-hutan-didakwa-lagi#ixzz2g2BtKu2R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment