Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Nelayan asing beri rasuah


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Beberapa syarikat menangkap ikan milik nelayan asing dikesan sanggup membayar antara RM20,000 dan RM200,000 kepada agensi penguat kuasa tempatan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang jika ditangkap menceroboh perairan negara ini.
Proses tawaran dan pembayaran wang rasuah secara tunai itu akan diuruskan oleh dua runner atau orang perantaraan iaitu masing-masing dari Malaysia dan negara asing yang dilantik sindiket yang turut menerima komisen lumayan.
Selain merasuah bagi membenarkan mereka bebas menangkap ikan di perairan negara ini, syarikat nelayan asing turut membayar RM20,000 sebulan kepada anggota penguat kuasa tempatan untuk melepaskan bot dan barang-barang kes jika ditangkap semasa serbuan.
Nelayan asing yang kebanyakan dari Vietnam dipercayai turut memberi suapan bagi tujuan sama kepada penguat kuasa dari beberapa agensi penguat kuasa tempatan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa kegiatan pencerobohan nelayan asing menangkap ikan terutama dari Vietnam di perairan negara semakin meningkat sejak kebelakangan ini kerana mereka bebas berbuat demikian setelah merasuah pihak penguat kuasa tempatan.
Beliau berkata, perairan Malaysia menjadi sasaran nelayan asing mendapatkan ikan berkualiti setelah sumber laut di negara mereka pupus gara-gara tindakan nelayan terbabit menggunakan pukat ganding untuk menangkap ikan di negara sendiri sebelum ini.
"Pukat ganding menyebabkan hidupan dan ekosistem laut seperti batu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan pupus kerana pukat ini mempunyai mata gergaji besi yang boleh mengaut semua hasil di dasar laut sehingga bersih termasuk ikan kecil.
"Apabila hasil laut di negara asing ini pupus, mereka menceroboh perairan Malaysia yang masih kaya dengan sumber ikan berkualiti dan sanggup merasuah penguat kuasa kerana hasil kegiatan menangkap ikan di negara ini memberi keuntungan lumayan kepada mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Syukri berkata, hasil tangkapan laut yang besar dan berkualiti dibawa balik ke negara mereka tetapi ikan gred rendah dijual di Malaysia bagi membolehkan mereka membeli diesel subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan berdasarkan berat ikan yang didaratkan.
Beliau berkata, masalah pencerobohan nelayan asing bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan tetapi bakal mengakibatkan hasil perikanan negara pupus dalam tempoh tiga tahun lagi jika kehadiran mereka menggunakan pukat ganding semasa menangkap ikan tidak dihalang.
Dalam pada itu, katanya, nelayan tempatan sukar menyaingi nelayan asing kerana bot mereka adalah lebih besar dan dilengkapi kemudahan canggih.
"Pengusaha bot yang bersekongkol dengan pihak berkuasa juga dibekalkan seunit telefon satelit bagi tujuan komunikasi sekiranya bot milik mereka ditahan semasa di perairan.
"Ketua pihak berkuasa terbabit akan memberikan telefon satelit kepada ketua pasukan operasi di perairan untuk memberitahu sekiranya pasukan operasi telah menahan bot nelayan asing yang menceroboh," katanya.
Menurut Mohd. Shukri, ada anggota penguat kuasa turut menjual kad maritim laut kepada operator bot asing yang membolehkan mereka dilepaskan daripada tindakan jika diperiksa.
Beliau berkata, kehadiran nelayan asing menyebabkan nelayan tempatan takut turun ke laut menangkap ikan, sekali gus mengakibatkan industri perikanan negara merosot dan memaksa negara mengimport hasil laut daripada negara luar.
Selain itu, katanya, nelayan asing yang menceroboh kawasan perairan negara juga datang dengan membawa senjata-senjata yang berbahaya seperti pelancar roket, senapang, mesingan ringan, mercun dan senjata berbahaya yang lain.
"Mereka membawa senjata tersebut untuk mempertahankan diri apabila ditahan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Selain itu, mereka juga merompak barang-barang berharga, hasil tangkapan dan cuba membuat ancaman bunuh terhadap nelayan tempatan yang bersusah-payah mencari nafkah untuk menyara keluarga," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_02/Nelayan-asing-beri-rasuah#ixzz2gSukiTl0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment