Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Maut akibat kencing tikus

Tengku Mohd Azrol
Tengku Mohd Azrol


BACHOK – Seorang remaja maut dipercayai akibat penyakit leptospirosis (kencing tikus) selepas mandi di salah sebuah kawasan air terjun hutan lipur, Pasir Puteh, dua minggu lalu.

Tengku Mohd Azrol Tengku Md Noor, 19, meninggal dunia kira- kira jam 10 malam, Jumaat lalu, di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas demam dan batuk berdarah setelah beberapa hari pulang dari kawasan berkenaan.

Adik mangsa, Tengku Hafiz, 17, juga dirujuk ke hospital sama sekali lagi setelah dipercayai mempunyai kuman dalam darah selepas mandi di lokasi tersebut.

Menurut seorang lagi adik mangsa, Tengku Mohd Hanif, 16, ketika itu dia bersama bapa saudara, Rosmawi Md Azmi, 39, ke hutan lipur terbabit pada 13 September lalu.

“Kami pergi ramai-ramai dengan sebuah kereta dari sini (Bachok) dan arwah menunggang motosikal dari rumah kami di Kampung Merkang, Pasir Puteh.

“Arwah seorang yang penyayang dan suka kucing. Kadang-kadang dia tidur pun dengan kucing. Tak sangka hasratnya untuk jadi polis tak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya, Siti Fatimah Dollah di Kampung Pantai Senak, semalam.

Katanya, lokasi air terjun di situ agak kotor, dipenuhi sampah-sarap dan berkemungkinan mengundang banyak punca penyakit.

Sementara itu, bapanya, Tengku Md Noor Daud, 40, berkata, apabila arwah didapati menghidap penyakit tersebut, semua ahli keluarganya yang mengikuti perkelahan di Jeram Pasu menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Lepas beberapa hari balik, arwah demam tak sembuh. Dua kali dia dibawa ke hospital hingga saat kritikal dia batuk berdarah, barulah dirujuk kepada hospital di Kota Bharu.

“Anak saya, Hafiz dikatakan mempunyai jangkitan kuman dan perlu menjalani ujian darah. Kami masih bimbang sebab ada juga ahli keluarga lain yang demam,” katanya yang berharap tahap kebersihan di kawasan terbabit perlu dipantau atau langkah
drastik diambil dengan menutup hutan lipur tersebut untuk orang awam selagi penyakit itu tidak dibendung.

Timbalan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Selasawati Ghazali mengesahkan kematian Tengku Mohd Azrol akibat kencing tikus.

No comments:

Post a Comment