Search This Blog

Sunday, September 1, 2013

Lelaki tempatan, wanita Filipina ditahan


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina berusia 22 tahun yang dipercayai bertanggungjawab memaksa Lisa melacurkan diri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan berkata, melalui hasil siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu dipercayai dibawa masuk ke Sandakan pada 11 Julai lalu dari Cagayan Del Oro, Mindanao, Filipina dengan dijanjikan pekerjaan lain.


Katanya, apabila tiba di Sandakan, mangsa dibawa ke sebuah hotel sebelum diserahkan kepada suspek dan dipaksa melacurkan diri.

Menurutnya, mangsa memberitahu, dia turut diugut jika enggan melacur dan disebabkan terlalu takut, dia terus bekerja dengan lelaki terbabit.


Jalil berkata, mangsa ditempatkan di sebuah apartmen dengan empat wanita lain tidak dikenali dengan pintu dikunci dari luar bagi mengelak mangsa melarikan diri.


“Mangsa dipercayai meminta bantuan penghuni di situ yang berjaya membuka pintu apartmen sehingga membolehkan mangsa meloloskan diri dan ditempatkan sementara di rumah penghuni itu (pada 27 Julai) sebelum mangsa membuat laporan polis pada 24 Ogos lalu.

“Bertindak di atas maklumat mangsa, serbuan dibuat di rumah berkenaan pada hari sama dan berjaya menahan seorang wanita warga Filipina, manakala suspek utama seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan keesokannya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang (ATIP).

Menurutnya, inilah peranan dimainkan Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman iaitu menyelamatkan mangsa yang diperdagangkan dan maklumat diperoleh pasti akan diambil tindakan pantas Menurut Jalil, tiada kompromi walaupun suspek warga tempatan dan setiap kesalahan pasti diambil tindakan.

No comments:

Post a Comment