Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Konflik di Zamboanga berakhir


PEMANDANGAN dari udara menunjukkan beberapa kediaman terbakar dalam pertempuran antara tentera Filipina dengan pemberontak MNLF pada Rabu lalu.- REUTERS


ZAMBOANGA - Konflik berdarah selama tiga minggu antara tentera kerajaan dan pemberontak yang menawan hampir 200 tebusan di selatan Filipina berakhir dengan semua tawanan selamat, kata Setiausaha Pertahanan, Voltaire Gazmin semalam.
Gazmin berkata, kini hanya tinggal segelintir pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang masih bersembunyi.
"Mereka kini diburu oleh pihak tentera di pinggir bandar raya ini," katanya.
"Pihak berkuasa juga cuba untuk menentukan sama ada komander (MNLF) Habier Malik yang mengetuai serangan pada 9 September lalu sudah mati," tambah Gazmin.
Lebih 200 orang terbunuh dalam pertempuran itu termasuk 166 pemberontak. Ia merupakan antara serangan paling berdarah dan lama pernah dilancarkan oleh kumpulan pemberontak di Mindanao.
"Saya boleh katakan bahawa krisis ini sudah berakhir. Kami mencapai misi kami," kata Gazmin.
Menurutnya, seramai 4,500 askar dan anggota polis terlibat dalam konfrontasi itu dengan seramai 195 tebusan telah diselamatkan, melarikan diri atau dibebaskan.
Pertempuran itu yang turut melibatkan penggunaan bom tangan dan serangan mortar, memaksa lebih 100,000 penduduk meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan di kem-kem sementara.
Beribu-ribu buah rumah turut musnah. Setakat ini, polis dan tentera masih berusaha membersihkan beberapa kawsan daripada sisa pertempuran, termasuk bom tangan yang tidak meletup dan jerangkap samar.
Kepungan ke atas bandar raya ini bermula apabila kumpulan gerila MNLF yang lengkap bersenjata tiba dari pulau-pulau terpencil dengan menaiki beberapa buah bot tetapi kemaraan mereka dihalang oleh tentera dan polis.
Kumpulan tersebut didakwa mahu menawan kota raya ini dan menaikkan bendera MNLF di bangunan Dewan Bandar Raya Zamboanga.
Pemberontak kemudian menyerbu lima kawasan perkampungan tepi pantai dan menjadikan sejumlah penduduk sebagai tebusan sebelum dikepung oleh tentera Filipina.
Presiden Benigno Aquino III yang terbang ke Zamboanga telah mengarahkan pihak tentera supaya melancarkan serangan selepas pemberontak MNLF enggan membebaskan tebusan mereka.
MNLF menuduh Manila mungkir janji kerana mengadakan rundingan damai dengan sebuah kumpulan pemisah terbesar di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gDyagVYI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment