Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Jurutera cedera diragut

Jurutera cedera diragutMohd Kamal cedera teruk selepas motosikal ditunggang terbabas akibat diragut dua penjenayah.

JOHOR BAHRU - Seorang jurutera cedera selepas  motosikal ditunggang terbabas akibat diragut dua penjenayah di Jalan Skudai berhampiran jejambat menuju Angsana Mall, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Kamal Izzudin, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam, ketika dia dalam perjalanan pulang dari Larkin menuju ke Gelang Patah sebelum menyedari diekori dua lelaki bermotosikal.

“Ketika dalam perjalanan, saya singgah sebentar di sebuah stesen minyak untuk ke tandas dan mengisi minyak.

“Selepas menyambung semula perjalanan, saya terlihat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki seolah-olah mengekori saya," katanya, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, ketika menghampiri jejambat berdekatan Angsana Mall, motosikal yang mengekorinya terus memotongnya dan salah seorang daripada mereka turut merampas beg sandangnya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas apabila beg sandang yang dipakainya direntap sebanyak tiga kali oleh penjenayah berkenaan.

“Motosikal saya hilang kawalan dan penjenayah mengambil kesempatan mengambil beg pada badan saya dan terus melarikan diri.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Saya tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek malah mereka memakai helmet yang mempunyai penutup muka,” katanya.

Selain itu, Mohd Kamal memberitahu terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cedera menuju ke Angsana Mall untuk meminta pertolongan.

“Saya cedera di bahagian bahu, kedua-dua tangan, lutut dan kaki. Saya terpaksa berjalan kaki dalam keadaan berdarah ke Angsana Mall untuk dapatkan bantuan.

“Dalam beg sandang tersebut terdapat dompet berisi wang tunai RM250, kad bank, dokumen penting serta dua telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian berkenaan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment