Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Ibu reda pemergian anak selepas 5 hari koma


26 September 2013
KUALA TERENGGANU - "Saya reda dan menerima kehendak Allah ini sebagai yang terbaik untuknya," kata Norhaida Mohd Noor, ibu kepada Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, pelumba muda yang meninggal dunia selepas lima hari kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang.

Norhaida, 44, yang ditemui pemberita ketika pengebumian jenazah anak keduanya itu di sini hari ini, berkata beliau dimaklumkan arwah memanggil "ibu" sebelum tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya pada hari kejadian.

Muhammad Izzat, 17, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pukul 1.30 petang semalam.

Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat yang beraksi dalam kelas 250cc Kejuaraan Motosikal Super Siri (MSS), dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.

Akibat kemalangan itu, Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama.

Menurut Norhaida, beliau sedar keadaan anaknya kritikal namun beliau tidak berputus asa dan bersedia untuk menjaga Muhammad Izzat andai anaknya itu lumpuh.

Malah katanya, pagi semalam beliau membeli sebuah diari untuk mencatat perkembangan anaknya itu sebelum dimaklumkan Muhammad Izzat sudah meninggal dunia.

Jenazah pelumba muda itu dikebumikan pada pukul 9.30 pagi tadi dan dihadiri oleh lebih 100 orang termasuk kaum keluarga, rakan serta Pengurus Pasukan SIC Ninja 250cc Steven Ong. - Bernama

No comments:

Post a Comment