Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Ibu ambil anak pulang sekolah maut digilis lori


ANGGOTA bomba dan polis menyiasat tempat kemalangan melibatkan Siti Rohani maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Rutin harian seorang ibu mengambil anaknya pulang dari sekolah bertukar tragedi setelah dia maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul di sini hari ini.
Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira 2.15 petang itu berlaku hanya beberapa meter dari pintu pagar sekolah anaknya itu dan mayat mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, pula terputus dua dari paras pinggang.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori konkrit hingga menyebabkan motosikal itu hilang kawalan lalu terjatuh.
"Mangsa yang terjatuh di jalan raya digilis tayar bahagian belakang lori terbabit dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdullah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya.
Difahamkan, pemandu lori terbabit merupakan warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap telah ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Siti Rohani yang berasal dari Temerloh, Pahang merupakan isteri kepada seorang anggota polis berpangkat koperal dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan akan dikebumikan di kampungnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130927/je_02/Ibu-ambil-anak-pulang-sekolah-maut-digilis-lori#ixzz2g2CLL92r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment