Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Hidup tak senang!

Kuala Lumpur: Angkara pemilik rumah meminjam wang daripada along, kini pembeli baru berdepan masalah diganggu kumpulan terbabit selain rumah mereka turut disimbah cat merah sebagai tanda amaran.
Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian selepas gagal mencari peminjam atau pemilik rumah yang memberi alamat palsu ketika urusan pinjaman dibuat.

Akibatnya, pembeli baru yang tidak bersalah menjadi mangsa, malah ada antara mereka diugut kerana tidak mahu membayar hutang berkenaan.
Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 425 kes membabitkan jumlah pinjaman berjumlah RM34.2 juta diterima pihaknya.

“Kebanyakan mangsa mengadu mereka tidak dapat masuk ke rumah baru kerana dinding rumah diconteng dengan pelbagai tulisan menggunakan cat merah sebagai tanda amaran.

“Lebih malang apabila kumpulan terbabit akan terus mengganggu penghuni baru sehingga pemilik rumah membayar balik hutang mereka,” katanya.
Foto
CHONG (kanan) memegang gambar Lau yang dicari ahli keluarga selepas hilang dipercayai angkara along.
Chong berkata, ekoran aduan diterima, beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berhubung isu gangguan along berkenaan kelmarin.

“Polis memberitahu dalam hal ini pembeli rumah atau pemberi pinjaman sama ada berlesen atau haram tidak bersalah kerana pemilik rumah yang gagal melangsaikan hutang mereka.
“Sebagai pemberi pinjam, mereka akan lakukan apa saja untuk dapatkan kembali wang. Pemberi pinjam wang dan mangsa dinasihat supaya membuat laporan polis bagi memudahkan polis mengesan pemilik rumah,” katanya.

Sementara itu, Chong meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat mengenai pemilik rumah di Symphony Heights, Jalan Medan, Batu Caves, Lau Yow Kit, 30, agar menghubunginya di talian 03-22033888.

Menurutnya, Lau yang bekerja sebagai jurutera penghawa dingin dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Julai lalu dan dikhuatiri ia mempunyai kaitan dengan along.

“Ibu bapa mangsa ada datang berjumpa saya memaklumkan mengenai kejadian itu. Mereka sekeluarga amat bimbang sekiranya anak mereka itu ditimpa masalah atau dicederakan kumpulan terbabit.

“Mangsa dan bapanya pernah datang berjumpa saya pada Januari lalu berhubung masalah hutang dengan along berjumlah RM30,000, namun hutang itu sudah diselesaikan sepenuhnya pada hujung Februari lalu.

“Bagaimanapun, sejak menjual rumah di Batu Caves, mangsa tidak pulang selain rumah berkenaan turut disimbah cat merah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

No comments:

Post a Comment