Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

GRO rempuh penguat kuasa


GRO rempuh penguat kuasa
Antara GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan, semalam.
JOHOR BAHRU - Seramai 31 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Bandar Baru Permas Jaya, di sini semalam.

Serbuan sekitar jam 2 pagi yang disertai 50 anggota dan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar itu menahan kesemua wanita terbabit selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Ketika serbuan dilakukan, keadaan menjadi kelam kabut kerana kesemua GRO terbabit bertempiaran lari merempuh anggota operasi yang berkawal di pintu.

Keadaan itu juga menyebabkan berlakunya adegan kejar mengejar malah tercetusnya kekecohan di kalangan pelanggan kerana bimbang dicekup anggota operasi.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua GRO berjaya ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen untuk tindakan lanjut.

Ketua Penyelaras Ops Sepadu 6P Johor, Masri Adul berkata, serbuan pertama menyaksikan 14 GRO berusia 20 hingga 38 tahun ditahan.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan 17 GRO berumur 20 hingga 37 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada wanita warga Vietnam, Indonesia, China dan Filipina.

“Kesemua ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) dan Seksyen 56(1)(l) Akta yang sama (miliki pas lawatan disyaki palsu,” katanya, di sini semalam.

Masri berkata, kesemua wanita terbabit kemudiannya dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.

Beliau turut memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan ke atas majikan yang mengajikan warga asing tanpa pas dan permit.

“Ops 6P ini akan dipergiatkan lagi sehingga bulan Disember ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment