Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Enam kereta diparkir kena pecah


Kuala Lumpur: Penduduk Pangsapuri Sentul Utama, di sini, terkejut mendapati cermin enam kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta kawasan Blok 213 flat itu pecah, dipercayai angkara pencuri, semalam.

Difahamkan, kejadian terbabit disedari seorang mangsa yang mahu pergi kerja apabila mendapati cermin kereta Proton Wira miliknya dipecahkan, jam 6.30 pagi.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ruddyansjah, 30-an, berkata, pemeriksaan lanjut dalam keretanya kemudian mendapati satu set Smart Tag yang disimpan dalam laci kereta hilang.

“Namun, barang berharga lain seperti alat pengesan satelit (GPS) tidak dilarikan. Saya juga mengesan ada kesan umpil di bahagian tepi cermin tempat duduk pemandu.


“Mungkin kegiatan itu dilakukan kumpulan yang memang pakar mengenai kereta sebab alat penggera semua kereta yang dipecahkan tidak berbunyi,” katanya.


Penduduk, Azman Rashid, 27, berkata, ketika dia pulang kerja jam 6 pagi, dia tidak nampak kegiatan atau individu mencurigakan di kawasan letak kereta.

“Saya balik kerja jam 6 pagi tadi (semalam) tetapi tak nampak apa-apa, mungkin mereka lakukan kegiatan itu antara jam 6 hingga 6.30 petang.


“Pada waktu malam kawasan ini memang ada rondaan polis, sebab itu waktu berkenaan biasanya terkawal,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad mendapati penjenayah memecahkan cermin kereta dengan mengumpil tepi cermin. Semua mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentul untuk tindakan lanjut.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut dijalankan.

No comments:

Post a Comment