Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Dua pencuri kabel ditahan


Permaisuri: Hasrat tiga pemuda untuk meraih keuntungan dengan menjual kabel elektrik yang dicuri tidak kesampaian selepas kereta Perodua Alza dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, Besut, semalam.

Tindakan tiga suspek yang mencuri kabel elektrik di daerah ini terbongkar selepas kereta dinaiki mereka yang dipenuhi kabel elektrik curi itu melanggar lampu isyarat di Bandar Permaisuri, di sini, jam 6 pagi.


Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, anggota polis yang melihat kejadian itu mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan, tetapi tidak diendahkan.

Menurutnya, pemandu memecut laju melalui Kampung Anak Ikan sebelum menghala ke Kuala Besut, Besut.


“Sebaik tiba di Kampung Beris Lampu, kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit sedalam dua meter, jam 7 pagi.


“Hasil bantuan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, dua suspek berusia 20-an yang cedera akibat kemalangan itu ditahan, sementara seorang lagi rakan mereka meloloskan diri.

“Pemeriksaan di dalam kereta menemui sebahagian kabel elektrik dipercayai dicuri di sekitar daerah Setiu,” katanya.


Ab Rahman berkata, kedua-dua suspek masing-masing berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan Besut kini ditahan di IPD Setiu untuk siasatan lanjut.

Katanya, usaha memburu seorang lagi suspek giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

No comments:

Post a Comment