Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Drebar lori masuk jirat takut disaman


Kuala Lumpur: Dua pemandu lori yang takut disaman selepas memasuki pusat bandar pada waktu puncak sanggup melarikan diri ke kawasan jirat Cina berdekatan Sungai Besi, semalam.

Dua pemandu berusia 30 dan 50 tahun itu sedar dengan kesalahan mereka dan sanggup melarikan diri ke kawasan jirat berkenaan bagi mengelak disaman namun tindakan mereka disedari anggota dan pegawai yang sedang bertugas di kawasan itu.


Operasi yang dijalankan pasukan Penguat Kuasa Trafik Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azmi Wahid itu sejak 18 September lalu dibuat dalam dua fasa semalam iaitu bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi manakala fasa kedua pula dijalankan bermula jam 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Sejak operasi itu dilancarkan, seramai 231 pemandu lori yang dikesan memasuki pusat bandar pada waktu puncak disaman.


Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, operasi berkenaan akan diteruskan pada waktu pagi dan petang.


“Sehingga hari ini (semalam), seramai 231 pemandu lori disaman dan meskipun operasi ini sudah dihebahkan melalui media, mereka masih berdegil untuk terus masuk ke pusat bandar pada waktu puncak.

“Apabila kita menahan dan menyaman mereka, ada yang tidak berpuas hati terhadap anggota malah ramai yang cuba melarikan diri ke kawasan terpencil,” katanya kepada Harian Metro.


Katanya, operasi berkenaan dijalankan selepas mendapat aduan daripada orang awam mengenai kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu puncak.

“Antara tumpuan operasi ialah Jalan Istana, Jalan Tun Razak, Jalan Cheras, Jalan Ipoh dan Jalan Ampang.


“Operasi ini akan diteruskan pada setiap hari bagi mengelak kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu puncak yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

No comments:

Post a Comment