Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Culik pengawal sebelum rompak

Culik pengawal sebelum rompakKeadaan pengawal keselamatan yang diikat penjenayah terbabit.

JEMPOL - Seorang pengawal keselamatan cedera selepas dipukul dengan senjata tajam oleh tiga penjenayah yang memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya dekat pekan Bahau, di sini, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian, pengawal keselamatan berusia 60 tahun itu dikatakan diculik dan dalam keadaan mata ditutup dibawa 'bersiar-siar' menaiki sebuah kenderaan di kawasan sekitar antara 5 dan 10 minit oleh penjenayah terbabit.

Mereka bertindak demikian dipercayai untuk mengelirukan mangsa kononnya dibawa ke kawasan jauh.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superitendan Tukiman Seriman berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.30 hingga 6 pagi melibatkan penjenayah berumur lingkungan 20 hingga 30-an.

Ketika kejadian, katanya, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan pemeriksaan di luar bangunan pasar raya tersebut, sebelum tiba-tiba dipukul dengan senjata tajam di bahagian kepalanya.

“Ketiga-tiga penjenayah ini memakai topeng. Seorang daripada mereka bertindak mengikat kaki, tangan serta menutup mata mangsa menggunakan pita pelekat.

“Mangsa kemudiannya dibawa bersiar-siar menaiki kereta sebelum dibawa masuk semula ke dalam pasar raya," katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit menggunakan pemotong besi untuk membuka mesin terbabit, lalu melarikan wang tunai berjumlah RM276,900 sementara pengawal keselamatan itu pula dibiarkan terikat kira-kira tiga meter dari mesin ATM berkenaan.

“Mangsa dijumpai terikat oleh seorang pekerja pasar raya kira-kira 6.30 pagi ketika hendak memulakan tugas. Mangsa yang cedera di kepala dibawa ke Hospital Jempol dan menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Tukiman berkata, siasatan awal polis mendapati penjenayah hanya melarikan peti duit berisi RM50 manakala peti RM10 ditinggalkan.

“Aksi penjenayah ini bagaimanapun berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dalam pasar raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun menyebabkan kecederaan.  Difahamkan, sehari sebelum kejadian, pihak bank memasukkan wang kira-kira RM360,000 di mesin ATM berkenaan. Sementara mangsa baru seminggu bertugas sebagai pengawal keselamatan.

No comments:

Post a Comment