Search This Blog

Sunday, September 1, 2013

Cubaan keempat samun van rokok gagal

Cubaan keempat samun van rokok gagalChang Keong (kiri) bersama mangsa menunjukkan van rokok yang gagal disamun suspek di IPD Ipoh, semalam.

IPOH - Cubaan kali keempat sekumpulan tiga lelaki menyamun pemandu van rokok gagal apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Tawas berjaya menahan mereka dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah restoran di Jalan Kuala Kangsar di sini.

Sebelum ini, kumpulan berkenaan telah menyamun tiga van rokok dari syarikat yang sama di Bercham, Chepor dan Tanjung Rambutan sejak dua bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun baru selesai membuat penghantaran rokok di sebuah restoran di sini.

“Sewaktu kejadian saya selesai membuat penghantaran rokok di kedai yang kelima namun secara tiba-tiba saya diserang kumpulan lelaki terbabit.

“Saya tidak berani melawan kerana salah seorang daripada mereka bersenjatakan pisau. Sebelum ini, ada rakan saya yang pernah mengalami situasi sama namun mengalami kecederaan kerana dia bertindak melawan penjenayah berkenaan.

“Pada waktu itu, saya dalam keadaan ketakutan namun nasib menyebelahi saya apabila tiga anggota polis tampil membantu lima minit kemudian,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berkemas untuk menghantar rokok ke destinasi seterusnya sebelum didatangi kumpulan suspek terbabit.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek menolak mangsa ke dalam van manakala seorang lagi mengacukan pisau di belakang mangsa.

“Kumpulan terbabit turut merampas kunci van dan cuba melarikan kenderaan tersebut. Bagaimanapun, gagal kerana terserempak dengan tiga anggota polis Balai Polis Kampung Tawas yang sedang melakukan rondaan.

“Ketika tangkapan dilakukan berlaku sedikit pergelutan antara anggota polis dan suspek. Salah seorang daripada mereka berjaya ditahan manakala dua lagi sempat meloloskan diri,” katanya.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu berusia 30 tahun dan berasal dari Kelantan serta mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan samun.

“Hasil siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan dari Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh untuk menyamun van rokok sebelum pulang semula ke sana.

“Melalui tangkapan tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan empat kes samun van rokok di sekitar Ipoh melibatkan kerugian lebih RM100,000,” katanya.

Chang Keong berkata, suspek kini direman sehingga 2 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata tajam.

No comments:

Post a Comment