Search This Blog

Wednesday, September 11, 2013

Berpuluh-puluh maut nahas libatkan bas di Guatemala, Iran


Mayat-mayat mangsa nahas bas yang ditutup dengan kain, disusun di atas tanah, ketika anggota pasukan keselamatan memeriksa lokasi kejadian di San Martin Jilotepeque, di Chimaltenango kira-kira 65 kilometer dari Guatemala City, kelmarin. - REUTERS
GUATEMALA CITY 10 Sept. - Seramai 43 orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera apabila sebuah bas terjunam setinggi 200 meter ke dalam sungai ketika melalui selekoh tajam di pedalaman Guatemala, semalam.
Menurut anggota pasukan keselamatan, bas yang terjunam di sebuah lebuh raya di San Martin Jilotepeque, kira-kira 65 kilometer dari Guatemala City itu, rosak teruk dan lebih 40 penumpang yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Penyiasat belum dapat mengesan punca utama kejadian atau destinasi bas tersebut, namun ketika kejadian bas menuju Guatemala City.
"Bas dipercayai membawa penumpang melebihi muatan," ujar seorang sukarelawan pasukan bomba di kawasan kejadian, Sergio Vasquez.
Katanya, seramai 38 orang termasuk enam kanak-kanak dan 12 orang wanita terbunuh di lokasi kejadian, manakala lima lagi meninggal dunia di hospital.
Saluran televisyen tempatan melaporkan, kebanyakan penumpang merupakan penjual yang datang mengambil hasil dari ladang untuk dijual di pasar.
Kerajaan turut mengisytiharkan tiga hari sebagai tempoh berkabung.
Dalam kejadian berasingan di Iran, sebanyak 44 orang terbunuh dan 39 lagi cedera apabila dua buah bas penumpang bertembung dalam satu kemalangan di luar Teheran yang mengakibatkan kebakaran, lapor media negara itu, hari ini.
Bas yang dalam perjalanan dari Isfahan ke Teheran itu, dipercayai mengalami masalah tayar bocor.
Ketua polis lebuh raya, Mohammad Reza Mehmandar berkata, bas itu kemudiannya merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi bas dari Teheran ke Yazd.
Tambahnya, pertembungan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbakar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130911/lu_05/Berpuluh-puluh-maut-nahas-libatkan-bas-di-Guatemala-Iran#ixzz2efBmTSdL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment