SONDHI tiba di mahkamah jenayah di Bangkok semalam.- Reuters
|
BANGKOK - Sebuah mahkamah Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pengasas kumpulan baju kuning kerana menghina institusi diraja negara ini.
Tertuduh, Sondhi Limthongkul menerima hukuman itu selepas beliau didakwa mengulangi petikan ucapan seorang akti- vis kumpulan baju merah, Daranee Charnchoengsilpakul yang menghina institusi diraja Thailand.
"Tertuduh tidak mempunyai alasan untuk mengulangi komen yang dibuat oleh seteru politiknya di tempat awam," kata seorang hakim di sebuah mahkamah di sini.
Kumpulan baju merah merupakan penyokong setia bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Daranee dihukum penjara selama 15 tahun pada tahun 2011 ekoran kenyataannya itu.
Thailand mempunyai undang-undang lese-majeste yang mengenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun terhadap mereka yang menghina keluarga diraja negara itu.
Pemimpin demonstrasi itu yang menerajui kumpulan Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) dari tahun 2005 hingga 2008 pernah menggulingkan dua pemerintahan Thailand.
Thaksin digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.
Sondhi yang juga bekas taikun media Thailand hadir ke mahkamah, namun tidak memberikan sebarang kenyataan.
Beliau dibenar diikat jamin selepas membayar sebanyak AS16,000 (kira-kira RM51,773).
Peguam Sondhi, Suwat Apaipakdi berkata, anak guamnya akan membuat rayuan di Mahkamah Agung. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2gVrZxB7P
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment