Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Babi punya salah


Alor Gajah: “Ketika lori berada di lorong kiri, seekor babi tiba-tiba meluru melintas lebuh raya dan merempuh sebuah kereta di lorong tengah,” kata Mohd Firdaus Mohamad, 27, menceritakan detik lori dinaikinya hilang kawalan selepas mengelak seekor babi hutan di Kilometer 214.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, pemandu lori tiga tan yang membawa muatan barangan elektronik, Rustam Abdullah Ghani, 33, dan seorang penumpang kereta Volvo dikenali sebagai Orphious, 23, cedera parah di kepala, tangan dan belakang badan selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan terbabit.


Selain Mohd Firdaus, pemandu Volvo dikenali sebagai Christoper, 24, dan rakannya, Cindy, 29, turut mengalami kecederaan.

Kereta Volvo dinaiki tiga sahabat itu dikatakan hilang kawalan sebaik babi berkenaan merempuh kenderaan mereka hingga terbabas dan kemudian melanggar lori terbabit.


Akibat rempuhan itu, babi berkenaan mati di tempat kejadian manakala kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas dan terhumban ke dalam longkang sebelah kiri lebuh raya.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Firdaus berkata, ketika kejadian dia dan Rustam dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk menghantar bekalan barangan elektronik di Sepang, Selangor. “Ketika sedang berborak, kami ternampak seekor babi hutan meluru ke arah lebuh raya hingga membuatkan kami tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa sebelum lori dinaiki hilang kawalan.

“Panik dengan kedudukan lori terbalik ke dalam longkang, saya berusaha keluar dan meminta bantuan orang awam untuk mengeluarkan Rustam yang terperangkap dalam keadaan lemah serta berdarah di muka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.


Menurutnya, dia mengalami kecederaan kaki akibat terhentak ketika lori itu terbalik.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahril Zauni berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan awam pada jam 10.14 malam kelmarin.


“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerah dalam operasi menyelamat itu.


“Sejurus tiba, pemandu lori itu sudah berada di luar kenderaannya manakala seorang lagi mangsa masih terperangkap di dalam kereta Volvo.


“Mangsa terbabit didapati sukar bergerak dan anggota bomba terpaksa menariknya keluar dengan perlahan selepas dimaklumkan dia mengalami kecederaan parah pada tangan serta kaki,” katanya.


Menurut beliau, kelima-lima mangsa diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah, di sini, untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

No comments:

Post a Comment