Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Angka kematian bangunan runtuh meningkat 45 orang



SEORANG budak perempuan dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan pangsapuri yang runtuh.- REUTERS


MUMBAI - Sekurang-kurangnya 45 orang disahkan terkorban di dalam sebuah bangunan pangsapuri yang runtuh di bandar raya ini, kata pihak berkuasa semalam.
Pasukan penyelamat bagaimanapun berjaya mengeluarkan seramai 32 lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu.
Bangunan lima tingkat itu yang terletak di tenggara bandar raya ini ranap awal kelmarin menyebabkan berpuluh-puluh penghuninya terperangkap.
Anggota-anggota penyelamat menarik keluar seorang gadis kecil yang masih hidup dari bawah timbunan blok pangsapuri berkenaan 12 jam selepas insiden berlaku.
Operasi menyelamat itu melibatkan beratus-ratus petugas yang dibantu peralatan seperti tukul dan beberapa jentera berat.
Ketika operasi menyelamat diteruskan, lebih banyak mayat telah ditemui.
"Angka kematian meningkat kepada 45 orang hari ini(semalam)," kata komander tempatan Pasukan Bertindak Bencana Kebangsaan, Alok Awasthi.
Bencana bangunan runtuh itu adalah yang ketiga di sini sejak enam bulan lalu.
Sekurang-kurangnya 72 orang mati pada April lalu apabila sebuah bangunan yang dibina secara haram runtuh di sini manakala pada Jun lepas, lebih 10 orang termasuk lima kanak-kanak maut dalam insiden serupa. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2gDzWvBrR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment