Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

8 cedera parah


Alor Gajah: Dua lelaki dan enam wanita parah selepas kereta sewa yang mereka naiki mereka naiki bertembung dengan Proton Satria di jalan Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, kereta sewa dipandu Mohd Rozehan Arifin, 48, dalam perjalanan dari arah pekan Kuala Sungai Baru ke Kuala Linggi, manakala Proton Satria dipandu Mohd Faiz Mustafa, 18, dari arah Port Dickson ke Telok Mas, Melaka.


Dipercayai kemalangan berlaku apabila Proton Satria yang dipandu Mohd Faiz bersama tiga rakannya gagal memotong kereta di hadapan sebelum bertembung kereta dinaiki Mohd Rozehan bersama isteri, Azlinda Wahab, 37, ibu mentua, Semah Sampol, 64, dan adik iparnya, Azian Wahab, 29, di arah bertentangan.

Menurut Azian, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang menghantar ibunya berurut di Londang, Masjid Tanah ke Kampung Hilir, Kuala Linggi.


"Kami ke Londang untuk menghantar ibu berurut, namun sebaik tiba ibu diminta datang semula pada waktu petang dan kami sekeluarga buat keputusan pulang ke rumah terlebih dulu.


"Dalam perjalanan tiba-tiba saya dikejutkan dengan rempuhan menyebabkan saya terhentak ke hadapan dan terus jerit panggil ibu kerana bimbang keselamatannya, malah kakak yang berlumuran darah turut menjerit menyebut mengenai kematian," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Saksi kejadian, Nurkamilia Mohamad, 38, berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal beberapa meter di belakang Proton Satria berkenaan yang cuba memotong kenderaan di hadapan.


"Sejurus itu terdengar bunyi dentuman kuat dan saya melihat semua mangsa terperangkap dalam kenderaan masing-masing.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu, tujuh mangsa dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung manakala pemandu kereta sewa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat yang tiba tidak lama selepas kejadian," katanya.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Abdullah Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.28 tengah hari dan lapan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.


"Setiba di tempat kejadian, tujuh mangsa daripada dua kenderaan dikeluarkan orang awam sementara pemandu kereta sewa dikeluarkan oleh anggota kami lima minit kemudian," katanya.


Difahamkan, semua mangsa yang parah membabitkan patah tangan, patah kaki, cedera di kepala dan anggota badan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

No comments:

Post a Comment