Search This Blog

Saturday, September 7, 2013

30 sehelai sepinggang, tujuh rumah musnah terbakar

Bomba Bomba berusaha memadamkan api dari terus merebak ke kediaman berdekatan.

KOTA BHARU- Tujuh rumah kayu musnah dalam kebakaran di kampung Sireh Bawah Lembah, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Akibat kejadian itu, hampir 30 mangsa yang mendiami kediaman berkenaan tinggal sehelai sepinggang setelah segala harta benda musnah dalam kejadian terbabit.

Seorang mangsa, Aminah Abdullah 43 berkata, dia menyedari asap hitam menjulang tinggi bermula dari rumah kosong berdekatan dan terus mendapatkan ibunya yang lumpuh akibat strok, Halimah Hamat, 84 di ruang tamu.

“Ibu tidak dapat berjalan dan hanya duduk di atas kerusi roda, saya bergegas mendapatkan ibu dan meminta pertolongan anak saudara yang tinggal di sebelah rumah mengusung ibu keluar.

“Mujurlah saya cepat bertindak kerana api begitu cepat marak. Apa yang saya fikirkan pada saat itu adalah nyawa ibu dan saya. Biarpun pelbagai kelengkapan rumah musnah, namun saya bersyukur masih selamat,” katanya.

Aminah berkata, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan RM100,000 memandangkan dia baru sahaja mengubah suai rumah terbabit.

Seorang lagi mangsa yang juga ibu tunggal, Kamariah Deraman, 52 berkata, dia menyedari kejadian itu setelah cucunya, Ainul Mardhiah Sofian memberitahu rumah jiran hangus dalam kebakaran.

“Ketika itu saya baru sahaja berehat setelah pulang dari tempat ceramah pagi di Medan Ilmu dan membeli sedikit barang untuk membuat kuih.

“Setelah cucu memberitahu rumah sebelah terbakar, saya menjenguk ke tingkap dan melihat kepulan asap, namun api belum merebak lagi ketika itu,” katanya.

Lebih bernasib baik, ibunya, Minah Yusof, 69 yang sakit terlantar akibat menderita penyakit kencing manis sejak dua tahun lalu berjaya diusung keluar dari rumah.

“Saya sempat ambil dokumen penting seperti sijil-sijil dan enam tong gas untuk membuat kuih diangkat oleh orang ramai, tetapi kelengkapan lain semuanya musnah, sama sekali,” kata Kamariah  yang tinggal bersama lima penghuni lain termasuk anak, cucu dan menantunya.

Bagi Saodah Abdullah, 68 berkata, dia bersama suaminya, Wan Zin Wan Hassan, 80 menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun berjaya menyelamatkan diri.

“Kami empat adik-beradik tinggal berdekatan (rumah kayu berkembar) dengan rumah ibu (Halimah) kerana saling menjaga ibu sakit.

“Makcik terpaksa menumpang di rumah anak-anak  dan berharap ada pihak sudi membantu untuk membina tempat tinggal baru," kata Saodah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.56 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian dua minit kemudian.
“Sebanyak tujuh jentera bomba dihantar dari balai Kota Bharu, Darul Naim, Tunjung, Pengkalan Chepa bersama 38 anggota bersama dua anggota bomba sukarela.

"Pada mulanya pihak kami hadapi masalah memadam kebakaran kerana sumber air yang tidak mencukupi, namun berjaya mengawal api dengan aliran Sungai Kelantan yang disedut ke dalam tangki bomba," katanya.

No comments:

Post a Comment