Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

2 beradik, pelajar menyamun ditahan


2013/09/26
Shah Alam: Dua beradik serta seorang pelajar kolej swasta ditahan kerana terbabit dalam kes samun bersenjata terutama terhadap mangsa wanita, selain disyaki terbabit dengan 302 kes curi lain.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata suspek terbabit ditahan sejurus polis menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 30 tahun yang disamun di depan rumahnya di Taman Rimbun Hijau, Country Heights, Kajang, pagi kelmarin.
“Kelicikan suspek yang menyamun menggunakan parang, berakhir apabila mereka dicekup pegawai Bahagian Jenayah Berat (D9) jam 11.45 pagi kelmarin,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Shukri berkata, dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, suri rumah terbabit yang sedang bersenam di depan rumahnya, didatangi tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan parang.

Dipaksa masuk rumah

Katanya, mangsa dipaksa masuk ke rumah sebelum diikat. Suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan melarikan pelbagai barangan berharga, telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai yang semuanya dianggarkan bernilai RM40,000.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota D9 IPK Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan suspek di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kira-kira lima jam selepas kejadian.
“Suspek turut membawa polis ke bilik hotel mereka yang jadikan tempat menyimpan barangan curi,” katanya.

Shukri berkata, siasatan polis mendapati suspek berusia antara 19 hingga 31 tahun itu disyaki turut terbabit dengan 302 kes yang menggunakan modus operandi sama di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sejak setahun lalu.

Katanya, ada antara suspek mempunyai pekerjaan tetap seperti pembantu restoran, pekerja kedai perabot/telefon bimbit, manakala seorang lagi masih belajar di kolej swasta.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa mengenai jenayah yang dilakukan, suspek akan berpindah dan menetap di hotel berlainan selepas melakukan samun,” katanya.

No comments:

Post a Comment