Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Tiga mayat mangsa bot PATI karam ditemui

Oleh HANIZA HASSAN
JOHOR BAHRU 4 Ogos - Tiga mayat yang dipercayai mangsa kejadian bot karam di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, tiga hari lalu ditemui oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan nelayan tempatan yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Besar, Mersing pagi ini.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Amran Daud berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan dua mayat ditemui PPM pada pukul 11 pagi, sementara seorang lagi ditemui oleh nelayan tempatan pada pukul 10.15 pagi.
"Dipercayai tiga-tiga mayat ini yang terdiri daripada dua wanita dan satu lelaki dewasa adalah mangsa bot pancung yang karam dipukul ombak dan menjadikan jumlah ditemui kepada tujuh orang sementara 37 masih hilang," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian 10 malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar.
Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya diselamatkan pada Jumaat oleh sekumpulan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurut Amran lagi, ketiga-tiga mayat tersebut dibawa ke jeti Mersing sebelum dihantar ke Hospital Daerah Mersing untuk bedah siasat.
Beliau berkata, operasi carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini diperluas sehingga 15 batu nautika utara termasuk pulau-pulau peranginan di Mersing dengan melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Faktor keadaan laut dan cuaca yang baik pada hari ini banyak membantu kita sehingga menemui tiga mayat mangsa bot karam dan sehingga pukul 2 petang ini tiada penemuan terbaru oleh pasukan carilamat," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130804/dn_26/Tiga-mayat-mangsa-bot-PATI-karam-ditemui#ixzz2b0fuIbwb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment