Search This Blog

Monday, August 5, 2013

Tiga kedai makan diarah tutup

Tiga kedai makan diarah tutupKeadaan premis makanan yang kotor dan tidak memenuhi piawaian ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

BAGAN SERAI - Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kerian mengarahkan tiga premis makanan ditutup selama 14 hari setelah didapati menjadi sarang tikus dan lipas.

Lebih menjijikkan, terdapat najis tikus di sebuah restoran di Jalan Siakap di sini, yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman di situ.

Jurucakap PKD Kerian berkata, arahan itu diberikan terhadap premis di sekitar Jalan Siakap dan pekan Tanjung Piandang, Parit Buntar hasil operasi kelmarin.

Menurutnya, dua kedai makan di pekan Tanjung Piandang ditutup atas kesalahan tidak memberikan suntikan tifoid kepada pekerja, membasuh pinggan di atas lantai serta susun atur barang dan suhu peti sejuk tidak mengikut piawaian ditetapkan.

“Lebih daripada sepuluh premis diperiksa dan difahamkan sebanyak lima premis dikompaun oleh MDK atas kesalahan tidak mematuhi piawaian kesihatan,” katanya.

Tambahnya, premis yang  diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 kerana ada bukti kesan tikus dan lipas, premis kotor dan melanggar Peraturan Makanan 2009 seperti tidak mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan sijil asas pengendalian makanan untuk pekerja.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan semua premis makanan supaya mengambil langkah yang drastik melaksanakan aktiviti kawalan tikus di premis mereka.

“Langkah ini perlu dilakukan untuk mengelak sebarang kejadian penyakit yang dibawa oleh tikus ataupun serangga berkaitan,” katanya.

PKD Kerian akan membenarkan premis berkenaan beroperasi semula setelah memenuhi spesifikasi kebersihan ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Daripada tujuh premis ditutup sebelum ini, dua daripadanya dibenarkan beroperasi semula selepas 24 jam ditutup setelah segera memenuhi arahan PKD Kerian, manakala selebihnya kembali beroperasi paling lewat dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDK, Norazilla Mahat berkata, lima kompaun dikeluarkan MDK terhadap lima premis atas kesalahan pemilik premis ingkar kehendak kesihatan di bawah Undang-undang Kecil Pengawasan dan Pengawalan Tempat-tempat Makan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua premis dikompaun terletak di Pusat Bandar Bagan Serai, manakala selebihnya di pekan Tanjung Piandang.

“Kadar kompaun dikenakan adalah sekitar RM50 hingga RM150 bergantung kepada jenis kesalahan dilakukan pemilik premis terlibat,” katanya.

No comments:

Post a Comment