Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Terkandas lima jam


Shah Alam: “Kami berkongsi sebotol air mineral untuk berbuka puasa. Itu saja yang kami ada kerana menyangka perjalanan pulang ke rumah tidak memakan masa, tapi apabila komuter dinaiki rosak beberapa kali, perjalanan sekitar setengah jam bertukar menjadi hampir lima jam.

“Ini pengalaman memeritkan. Bayangkan, kami naik komuter jam 7.30 malam di Kuala Lumpur dan tiba di Stesen Komuter Seksyen 18, Shah Alam hampir jam 1 pagi.


“Sudahlah perit menahan lapar, ibu bapa pula menjadi kelam-kabut kerana tidak menerima makluman mengenai kerosakan itu.” Demikian luahan Kamalia Yusof, 23, penumpang komuter dari Kuala Lumpur ke Shah Alam yang terkandas akibat gangguan sistem isyarat di hampir semua laluan di sekitar Lembah Klang bermula jam 7.30 malam kelmarin.

Pekerja syarikat swasta yang dalam perjalanan bercuti dari Perak itu antara lebih 100 penumpang yang terkandas.


“Ini pengalaman paling memeritkan untuk pulang beraya. Komuter tidak boleh bergerak, manakala kami di dalam koc tidak diberi makanan atau minuman.


“Sebahagian penumpang Islam terpaksa menahan lapar kerana sebelum itu mereka berhasrat berbuka puasa di rumah masing-masing,” katanya.

Kamalia berkata, dia bersama dua rakan terlalu keletihan kerana sebelum kejadian, mereka menaiki bas hampir empat jam dari utara dan singgah di Kuala Lumpur sebelum menempuh pengalaman menaiki komuter yang rosak hampir lima jam untuk pulang ke Shah Alam.


Seorang lagi penumpang Muhamad Nazrul Shahimi, 20, mendakwa kerosakan koc komuter dinaikinya berlaku sebanyak tiga kali dan setiap kali diperbaiki mengambil masa lebih satu setengah jam.

Dia yang menaiki komuter di Stesen Batu Caves berkata, kerosakan pertama berlaku jam 7.30 malam sejurus azan Maghrib berkumandang.


“Syukur saya membeli sebungkus roti untuk berbuka puasa. Cuma kasihan ada penumpang kelaparan apabila kerosakan berulang-ulang sepanjang perjalanan.


“Kerosakan pertama berlaku selepas Stesen Batu Caves. Kerja memperbaikinya mengambil masa lebih sejam, tapi rosak semula apabila tiba di Stesen Kuala Lumpur Sentral.


“Kerosakan berlaku lagi apabila tiba di Sentul, menyebabkan koc hanya dapat bergerak sekitar jam 12.20 tengah malam,” katanya.


K Kunagaran, 40, pula kesal kerana kerosakan itu tidak dihebahkan, menyebabkan banyak ahli keluarga menunggu dengan rasa bimbang di beberapa stesen komuter seperti di Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

No comments:

Post a Comment