Search This Blog

Tuesday, August 13, 2013

Taufan Utor badai Filipina, seorang maut


Sekumpulan kanak-kanak mengutip sampah yang tesadai di pantai untuk dijual selepas ombak kuat membadai sepanjang Teluk Manila berhampiran kawasan setinggan di Manila, semalam ekoran Taufan Utor . - REUTERS
MANILA 12 Ogos - Seorang terbunuh, manakala 45 orang lagi dilaporkan hilang apabila Taufan Utor melanda utara Filipina, hari ini.
Utor yang disifatkan sebagai taufan terkuat pada tahun ini, membadai kawasan pergunungan wilayah Aurora dengan kelajuan angin 175 kilometer sejam.
Rakaman televisyen ABS-CBN TV memaparkan seorang wanita dihanyutkan arus deras di sebatang sungai di wilayah Isabela.
Wanita itu dapat dilihat melambai tangannya meminta pertolongan sambil berusaha berpaut pada serpihan bangunan ketika dihentam arus kuat.
Tidak dapat dipastikan apakah nasib wanita tersebut.
Di pergunungan Benguet, seorang lelaki berumur 22 tahun maut dalam perjalanan ke hospital selepas diselamatkan daripada runtuhan tanah, kata pegawai pertahanan awam wilayah, Andrew Alex Uy.
Taufan itu turut menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter dan sejumlah nelayan hilang.
Jurucakap polis wilayah berkata, 25 nelayan di Pangasinan yang menaiki tiga bot gagal pulang.
''Sebanyak 20 orang nelayan lagi dari Catanduanes dan Camarines Norte juga dilaporkan hilang. Pihak berkuasa berharap mereka selamat dengan berlindung di pulau-pulau berdekatan,' kata Pengarah Wilayah Pejabat Pertahanan Awam, Bernardo Alejandro IV.
Pada tengah hari ini, Taufan Utor telah melalui Luzon dan kini bergerak ke arah barat laut dengan angin selaju 140 kilometer sejam. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130813/lu_04/Taufan-Utor-badai-Filipina-seorang-maut#ixzz2brcWYxzW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment