KULIM - Polis dari Balai Polis Sungai Kob berjaya menahan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah kedai di sini setelah ditinggalkan kekasihnya dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Sperintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi kelmarin apabila sebuah kereta jenis Proton Satria dilihat masuk ke kawasan taman perumahan dalam keadaan mencurigakan. Curiga dengan kenderaan itu, orang awam memaklumkan perkara itu kepada polis.

“Ketika pemantauan dibuat, kekasih kepada suspek yang memandu kereta jenis Proton Satria itu sedang berada di dalam kedai untuk membeli minuman. Polis kemudiannya menghampiri kereta suspek.

Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif mengundurkan kereta dipandunya dengan laju merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di belakangnya sebelum melarikan diri.

"Namun polis berjaya menahan kekasihnya ketika itu dalam sebuah kedai. Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk jalani ujian air kencing,” katanya.

Menurutnya, suspek didapati positif dadah dan akan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya.

Katanya, hasil serbuan mendapati ramai kalangan remaja terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berpunca dari pergaulan bebas serta sikap suka berpelesiran, namun permasalahan itu tidak diambil kisah oleh ibu bapa.

“Masalah salah guna dadah hari ini makin membimbangkan dimana ia mula menular kalangan pelajar dan remaja bawah umur," katanya.