• Polis Kenal Pasti Laluan Kerap KemalanganKetua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye (dua kanan) melakukan pelepasan petugas trafik pada kempen pelancaran Ops Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Melaka, hari ini.- Foto Bernama
 1 / 1 
MELAKA - Polis Melaka menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu melalui beberapa laluan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
  
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata statistik kemalangan jalan raya di Melaka ketika musim perayaan Aidilfitri tahun lepas meningkat kepada 661 kes berbanding 642 kes dalam tempoh sama pada 2011.
  
"Peningkatan statistik kemalangan tersebut disebabkan beberapa faktor termasuk sikap pemandu sendiri, namun kita berharap statistik itu dapat diminimumkan melalui pendekatan yang dilaksanakan Polis Melaka kali ini," kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Ops Selamat 2013, di sini hari ini.
  
Katanya, Melaka Tengah melibatkan laluan di Km50 Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin); Km40 Jalan Batang Tiga-Bukit Rambai; Km1 hingga Km35 Jalan Mufti Haji Khalil-Batu Berendam; Km4 hingga Km13 Jalan Bukit Baru-Bukit Beruang dan Km30 Jalan Tun Fatimah.
  
Daerah Alor Gajah melibatkan Jalan Sungai Udang-Lubok Cina; Km15 Jalan Gangsa-Kesang dan Km17 hingga Km18 Jalan Alor Gajah-Tampin, manakala daerah Jasin membabitkan Km29 hingga Km30 Jalan Melaka-Muar; Km19 Jalan Tehel-Bemban; Km28 Jalan Jasin-Bemban dan Km26 Jalan Bemban-Jasin, katanya.

Kempen Ops selama 15 hari bermula hari ini bertujuan mendidik masyarakat menjaga keselamatan harta benda dan ketika berada di jalan raya dalam usaha menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan di negeri itu pada musim perayaan.
  
Chuah berkata pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti bagi mengelak kemalangan maut.
  
Beliau turut menasihatkan pemandu agar mematuhi peraturan jalan raya selain memandu mengikut had laju yang ditetapkan, tidak memotong di garisan berkembar dan berhenti sekiranya mengantuk.
  
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai yang akan meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya di kampung supaya menitikberatkan aspek keselamatan harta benda bagi mengelak jenayah pecah rumah.
  
Katanya sebanyak 35 kes jenayah pecah rumah dilaporkan berlaku pada Adilfitri tahun lepas berbanding 34 kes dalam tempoh sama, tahun sebelumnya.  - Bernama