Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Polis diserang lima lelaki bersenjata


Johor Bahru: Seorang anggota polis cedera di dahi, kaki kanan dan patah beberapa gigi selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang ketika melakukan pemeriksaan cegah jenayah di Jalan Kelabu Taman Pelangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi, anggota polis berpakaian preman itu dikatakan menahan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bagi menjalankan pemeriksaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya.


Ketika memeriksa suspek, anggota polis berkenaan didatangi empat lelaki dipercayai rakan suspek sebelum menyerang mangsa, termasuk menggunakan parang.

Difahamkan, berlaku pergelutan hingga mangsa cedera di dahi, kaki kanan dan patah beberapa gigi depan sebelum anggota berkenaan melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan satu das ke arah penyerangnya bagi menyelamatkan diri.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Asisten Komisioner Azizan Anan berkata, siasatan awal mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal tiba di lokasi ketika mangsa melakukan siasatan terhadap suspek. “Melihat keadaan cemas itu, anggota polis terbabit melepaskan satu das tembakan amaran ke udara namun ia tidak menakutkan semua suspek, malah seorang terus meluru ke arah anggota itu sambil menghayun parang.


“Bagi mempertahankan diri, anggota berkenaan terus melepaskan satu das tembakan ke arah kumpulan suspek, menyebabkan semua suspek, termasuk lelaki yang disoal siasat, melarikan diri.

“Walaupun cedera, anggota polis itu terus berusaha mengejar suspek dan berjaya menangkap suspek yang cedera di belakang badan akibat terkena tembakan,” katanya.


Menurutnya, suspek yang cedera ditahan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala empat lagi suspek melarikan diri. Azizan berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi menahan empat suspek terbabit.

“Saksi kejadian atau mana-mana individu mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/307 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menahan suspek dan menyelesaikan kes dalam tempoh terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment