Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Merangkak dalam kebas


Sri Aman: “Saya gagahkan diri untuk keluar walaupun kaki terasa kebas dan tidak boleh bergerak. Saya bimbang kerana ketika itu kereta mengeluarkan asap,” kata Nora Karu, 38, ketika menceritakan detik cemas kemalangan yang mengorbankan dua lelaki selepas dua kereta bertembung di KM57, Jalan Sri Aman-Sarikei, dekat Jalan Pais, di sini, semalam.

Kemalangan jam 6.40 pagi itu menyebabkan dua penumpang Proton Saga, Ling Lee Chen, 26, dan Anthony Wong Siow Wei, 28, maut di tempat kejadian manakala Nora yang memandu Perodua Viva retak tulang kaki kiri sebelum dibawa ke Hospital Betong (HB) untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, kejadian itu juga menyebabkan pemandu Proton Saga, Ling Tai Hung, 24, cedera parah, manakala Stephanie Ting Xiang Chii, 20, turut cedera dengan semua mereka dimasukkan ke HB.

Kejadian berlaku apabila Proton Saga dinaiki empat sahabat dalam perjalanan dari Sarikei dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum bertembung kereta dipandu Nora dari Sri Aman menuju ke Betong.


Akibat perlanggaran itu, dua mangsa di tempat duduk penumpang kiri dan sebelah pemandu maut di tempat kejadian, manakala pemandunya pengsan dan seorang lagi penumpang belakang, cedera.


Nora yang juga kakitangan HB berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum melihat Proton Saga dinaiki empat sahabat berpusing dan meluru ke arah keretanya.

“Saya tidak mampu mengelak sebelum merempuh kereta itu. Saya sempat menjerit sebelum kereta dipandu bertembung.


“Saya tersentak apabila melihat asap keluar dari kereta saya dan cuba bergerak untuk keluar, tetapi kaki kiri saya berasa kebas dan sukar. Bimbang kereta terbakar, saya nekad menahan kesakitan untuk menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian, jalan licin selepas hujan, membuatkan saya memandu lebih berhati-hati, namun kejadian terlalu pantas membuatkan saya panik.


“Ketika itu saya terbayang kematian, malah di lokasi ini berlaku kemalangan mengorbankan empat warga Indonesia pada hari pertama Ramadan,” katanya ketika ditemui, semalam.


Kemalangan ini yang kedua dalam tempoh seminggu selepas kejadian di KM48 Jalan Sri Aman-Sarikei yang mengorbankan empat kakitangan, termasuk seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Khamis lalu.


Katanya, pada masa sama beliau sempat menghubungi HB untuk mendapatkan bantuan. Difahamkan, semua mangsa maut dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.


Pegawai Bomba dan Penyelamat Betong Penguasa Kanan II Hamden Bladi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.40 pagi.


Katanya, sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian dan kami mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, termasuk meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment