Search This Blog

Friday, August 30, 2013

Lelaki maut tersepit

Lelaki maut tersepit
MOHD TAUFIQ


BATU KURAU – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori pasir dekat hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Yaman, Batu 20, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu, kereta Proton Satria dipandu lelaki tempatan berusia 30-an itu menghala ke Batu Kurau bertembung lori pasir yang menghala ke Kamunting sebelum kedua-duanya terbabas dan masuk ke dalam parit.

Akibatnya, pemandu Satria berkenaan maut di tempat kejadian dan ketika kejadian, keadaan cuaca agak buruk iaitu hujan lebat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penguasa Bomba Kanan, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mati di tempat kejadian.

“Seramai enam anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting ditugaskan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Taufiq berkata, kira-kira satu jam sebelum kemalangan itu, satu kejadian ribut berlaku di sekitar Kamunting termasuk Taman Bukit Jana.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sebuah khemah diterbangkan angin dan tersangkut di atas bumbung sebuah rumah di kawasan berhampiran.

"Kami menerima panggilan bagi membantu mangsa untuk menurunkan khemah terbabit selain memastikan kabel yang tersangkut pada khemah itu dialihkan dengan selamat.

“Operasi terbabit berjaya disempurnakan kira-kira jam 5 petang dan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment