Search This Blog

Saturday, August 31, 2013

Leka gubah bunga, tak sedar kedai terbakar



KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai bunga nyaris maut apabila premis perniagaannya di Jalan Sultan Sulaiman di sini hangus dijilat api.

Kebakaran pada 6.55 petang itu berlaku ketika Tan Bee Beng, 37, sedang menggubah bunga yang ditempah pelanggan.

Tan berkata ketika kejadian, beliau hanya sendirian di kedai berkenaan kerana pekerjanya pulang pukul 6 petang, dan secara tiba-tiba, bekalan elektrik di premis itu terputus.

"Sebelum itu, saya masuk ke stor yang menyimpan bekalan bunga dan secara tiba-tiba keadaan gelap di dalam kedai.

"Saya terus keluar dari stor berkenaan dan melihat api mula marak dari bahagian stor dan beberapa saat kemudian mula merebak ke bahagian yang lain ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Panik dengan kejadian itu, Tan terus berlari menyelamatkan diri sebelum orang ramai menghubungi bomba.

"Kejadian berlaku amat pantas dan saya gagal menyelamatkan sebarang harta benda," katanya sambil menambah kedai itu sudah 13 tahun beroperasi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Kota Azmi Salleh berkata sebaik menerima laporan, seramai 33 anggota bersama lima jentera dikejar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kepantasan pihaknya berjaya menyelamatkan 10 unit rumah kedai lain daripada turut musnah dalam kebakaran itu.

"Ketika kami tiba, api marak di bahagian bawah bangunan tiga tingkat berkenaan dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawalnya daripada merebak ke premis bersebelahan, yang menempatkan kedai menjual peralatan senjata, kafe siber, firma guaman serta syarikat perumahan," katanya.

Asmi berkata punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat. - Bernama

No comments:

Post a Comment